Kedai anda tak keluar di Google Maps biasanya bukan sebab Google tak suka bisnes anda. Selalunya profil Google Business anda tak lengkap, kategori salah, gambar lama dan review sedikit. Betulkan empat perkara ini dulu, dan dalam beberapa minggu anda akan nampak perbezaan pada jumlah panggilan dan arahan jalan.
Saya selalu tanya owner klinik, kedai makan dan bengkel satu soalan mudah. Bila orang dalam radius 5 km taip “klinik dekat saya” atau “bengkel kereta Gombak”, nama siapa yang keluar dulu? Ramai tak pernah semak. Bila semak, nama pesaing yang keluar, padahal kedai mereka lebih lama dan servis lebih bagus.
Untuk bisnes premis, Google Maps adalah papan tanda paling mahal yang anda boleh dapat secara percuma. Orang yang cari di situ dah ada niat. Mereka bukan sekadar scroll. Mereka nak datang.
Kenapa Google Business Profile lebih penting daripada website untuk kedai fizikal
Pelanggan bisnes premis jarang buka website dulu. Mereka tengok peta, baca dua tiga review, tekan butang call atau arahan jalan. Keputusan dibuat dalam masa kurang seminit.
Website masih penting untuk membina kepercayaan dan menerangkan tawaran. Tapi untuk carian “dekat saya”, profil Google anda adalah pintu pertama. Kalau pintu itu nampak usang, pelanggan pilih pintu sebelah.
7 perkara yang selalu buat profil tenggelam
- Kategori utama salah atau terlalu umum. “Kedai” atau “Perkhidmatan” tak membantu. Pilih kategori paling spesifik, contohnya “Klinik Pergigian” atau “Bengkel Pembaikan Kereta”. Kategori utama adalah isyarat paling kuat kepada Google.
- Nama, alamat dan nombor telefon tak sama di semua tempat. Google bandingkan maklumat di profil, website, Facebook dan direktori. Kalau satu tulis “Jln” dan satu lagi “Jalan”, itu biasa. Tapi nombor telefon atau nombor lot yang berbeza akan kelirukan sistem.
- Waktu operasi tak dikemas kini. Pelanggan datang, kedai tutup. Mereka tinggalkan review satu bintang. Kemas kini waktu cuti umum dan musim perayaan setiap kali.
- Gambar sedikit dan lama. Muat naik gambar depan kedai (supaya orang kenal bila sampai), ruang dalam, pasukan dan hasil kerja. Gambar sebenar lebih berkesan daripada gambar stok.
- Review sedikit, dan tak pernah dibalas. Jumlah review, kekerapan review baru dan cara anda membalas semuanya dikira. Balas setiap review, termasuk yang negatif, dengan tenang dan profesional.
- Servis dan produk tak disenaraikan. Bahagian Services membantu Google faham apa sebenarnya anda buat. Senaraikan servis dengan nama yang pelanggan guna bila mencari.
- Profil dibiarkan senyap. Ciri Posts dan soal jawab jarang digunakan. Satu post seminggu tentang promosi, servis baru atau tips sudah cukup untuk tunjuk bisnes anda aktif.
Cara dapatkan review tanpa rasa terdesak
Kebanyakan pelanggan yang puas hati sebenarnya sudi bagi review. Mereka cuma tak terfikir. Masalahnya, owner rasa segan nak minta.
Cara paling berkesan ialah jadikan ia sebahagian daripada proses. Selepas servis selesai, staf hantar satu mesej WhatsApp ringkas dengan link review terus. Ayatnya pendek: terima kasih, dan kalau sudi, kongsikan pengalaman. Bila ini jadi rutin harian, review bertambah sendiri tanpa perlu kempen khas.
Jangan beli review atau tawarkan hadiah sebagai pertukaran review. Itu melanggar polisi Google dan boleh menyebabkan profil digantung.
Apa yang patut dipantau setiap bulan
Dalam dashboard Google Business Profile, ada tiga nombor yang owner patut tengok:
- Jumlah panggilan terus dari profil
- Jumlah permintaan arahan jalan
- Carian yang membawa orang ke profil anda
Kalau nombor ini naik selepas anda betulkan profil, maknanya usaha itu berhasil. Kalau tak berubah, mungkin masalahnya di tempat lain: tawaran, harga atau persaingan di kawasan itu.
Soalan lazim
Berapa lama nak nampak kesan selepas kemas kini Google Business Profile? Biasanya beberapa minggu. Perubahan pada kategori dan maklumat asas boleh beri kesan lebih cepat, manakala review dan aktiviti post membina kedudukan secara beransur.
Perlu ke ada website kalau dah ada Google Business Profile? Perlu, kalau anda mahu Google lebih yakin dengan bisnes anda dan pelanggan dapat maklumat lengkap. Profil membawa orang masuk, website membantu mereka membuat keputusan.
Boleh ke satu bisnes ada dua profil? Hanya jika ada dua premis fizikal yang berbeza. Profil berganda untuk lokasi yang sama boleh dikira sebagai spam.
Langkah seterusnya
Kalau anda dah buat semua ini tapi pelanggan masih kurang, masalahnya mungkin lebih besar daripada profil Google. Mungkin tawaran, mungkin proses follow-up, mungkin harga. Strategic Growth Partner di Onesty.my bantu owner bisnes premis cari punca sebenar sebelum belanja lebih pada marketing. Ceritakan situasi anda, kita tengok sama-sama.

